Rasulullah Saw, “Sampaikanlah dari ku walaupun hanya satu ayat.” Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi

Friday 6 July 2012

ULASAN "Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja" adalah perkataan sahabat Nabi SAW ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rom ataupun bangsa Eropah ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
11:22AM Jul 6 2012

ULASAN "Mereka paling mencegah kezaliman raja-raja" adalah perkataan sahabat Nabi SAW ‘Amr bin al-‘As ketika mengulas tentang kelebihan bangsa Rom ataupun bangsa Eropah ini. 



Saya teringatkan perkataannya apabila saya terbaca akhbar Daily Mirror pada 3 Julai lalu berhubung kritikan dan pendedahan mengenai belanja perjalanan keluarga diraja Britain, dengan tajuk "Royal Family's travel bill set rise higher".

Setiap anggota keluarga yang berbelanja dengan wang negara didedahkan. Perjalanan mereka dan berapa wang negara yang telah digunakan seorang demi seorang.

Antaranya, Daily Mirror melaporkan: "July 2011 Prince William and Kate spent £54,410 returning from LA with their staff of seven after touring Canada and California. A source said they paid business class fares for first class flights."


Banyak lagi pendedahan yang dibuat sebagai bantahan ke atas keluarga diraja itu menggunakan wang awam. Walaupun kadangkala yang digunakan itu kelihatan tidaklah begitu besar. 


Peningkatan belanja Ratu Elizabeth juga dipertikaikan. Padahal jika kita teliti, Ratu British itu membayar cukai harta seperti rakyat yang lain. Namun, sikap adil dan demokratik membolehkan rakyat mengetahui dan menyemak sesiapa sahaja yang terbabit dalam salahguna wang awam.

Laporan itu menyimpulkan "The figures mean she (The Queen) costs the British population 52p per head, excluding the cost of her security and police protection".

Walaupun kadang-kala difikir jumlahnya tidaklah banyak dibandingkan kekayaan mereka dan jasa keluarga diRaja Britain dalam sejarah kemakmuran negara mereka. Namun, demikianlah sikap rakyat yang tidak feudal dan merdeka jiwa mereka.

Mereka berhak mengetahui bagaimana wang negara mereka dibelanjakan. Maka jangan hairan jika mereka sentiasa lebih baik dari segi hak rakyat dan pengurusan dana awam negara.

Kebebasan akhbar juga tidak dihalang dalam membuat laporan yang seperti itu. Malanglah, jika ada negara di dunia ini yang begitu meniru gaya baju British dalam upacara rasmi tetapi tidak memberikan hak bersuara kepada rakyat seperti yang British berikan pada rakyatnya.


Bangsa Eropah
 

Hal inilah yang mengingatkan saya kepada ulasan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Amr bin al-‘As apabila mendengar seorang sahabat yang lain iaitu al-Mustawrid al-Qurasyi meriwayat sabda Nabi SAW: "Berlakunya Kiamat dan Rom merupakan manusia terbanyak" (Riwayat Muslim).

Maksudnya, sehingga berlaku kiamat, bangsa Eropah akan kekal dengan jumlah dan kekuatan mereka. Rom ataupun bangsa roman adalah bangsa Eropah hari ini.

Mendengarkan hadis tersebut, ‘Amru bin al-‘As sebagai seorang yang berpengalaman dengan pelbagai bangsa pada zaman tersebut mengulas dengan berkata kepada al-Mustawrid:

"Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja".

Dalam ucapan ‘Amr bin al-‘As, tergambar bahawa beberapa ciri penting untuk menjadi satu masyarakat ataupun negara yang kuat. Pertamanya, kebijaksanaan politik dalam menangani krisis.

Kedua, kemampuan untuk bangkit setelah jatuh dalam kegawatan. Ketiga, kekuatan ketenteraan. Keempat, kebajikan rakyat. Kelima, keadilan siasat yang menghalang segala kezaliman terutama kezaliman golongan penguasa.

Merenung hadis dan ucapan ‘Amr bin al-‘As ini, dapat kita lihat kekuatan dalam kehidupan masyarakat Barat ini sekalipun banyak perkara yang kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka.

Ciri-ciri kebaikan dan kekuatan yang disebutkan ‘Amr bin al-‘As dapat kita lihat dalam pengurusan mereka yang lebih baik dibandingkan masyarakat lain termasuk masyarakat Muslim hari ini.

Sikap mereka dalam mencegah kezaliman penguasa lebih baik dari masyarakat lain yang feudal. Keluarga diraja mereka sekalipun berjasa dalam sejarah, namun hari ini tidak dibiarkan bertindak tanpa boleh dipertikaikan.

Dengan itu masyarakat mereka hidup dengan penuh keyakinan terhadap hak dan suara mereka. lihatlah di dunia Islam apabila ada golongan bangsawan yang boleh mengaut segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh mempertikaikan.

Bahkan yang mempertikai pula yang dihukum. Padahal jasa golongan bangsawan negara-negara orang Muslim sukar hendak disenaraikan dalam sejarahnya dibanding monarki British.


Agamawan sengat
 


Malang sekali, muncul pula golongan agama yang sama ada jahat, ataupun jahil terhadap maksud agama dalam membebaskan manusia dari penghambaan zahir dan batin kepada menjadi hamba Allah yang merdeka jiwanya. 


Lahir golongan literalis yang meletakkan nas-nas agama secara terpisah dan sengat dari maksud keseluruhan agama ini sehingga berdiam terhadap kezaliman penguasa dan membantah suara rakyat yang ditindas.

Mereka inilah yang berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan rejim yang masih hidup iaitu Bashar al-Asad. Mereka sibuk menghalang rakyat bersuara, tetapi tidak sibuk "berforum, berwacana, ataupun berseminar" menghalang penguasa merakusi hak rakyat.

Mereka mendakwa ini pegangan salaf (generasi awal Islam), seakan golongan salaf itu banteng kepada rejim-rejim yang zalim. Merekalah yang sebenarnya menghina dan berdusta atas nama salafussalih.

Mereka lupa, bahawa Muawiyah bin Abi Sufyan sekalipun memberi ruang membantah dan bersuara kepada rakyat.

Dalam riwayat at-Tabarani, dengan sanad yang hasan: "Muawiyah bin Abi Sufyan RA (khalifah ketika itu) menaiki mimbar pada hari Jumaat, dia berkata dalam khutbahnya: Harta ini (kerajaan) adalah harta kami, dan harta fai (yang diperolehi melalui peperangan) juga harta kami. Kami berikan kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu."

Tiada seorang pun yang menjawabnya.

Apabila tiba Jumaat yang kedua, dia mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun menjawabnya. Pada Jumaat yang ketiga dia berkata perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu bangun dan berkata:

"Sama sekali tidak! Harta ini adalah harta kami (rakyat) dan fai ini adalah fai kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang antaranya dengan kami, kami hukumnya dengan pedang-pedang kami."


Apabila selesai solat, Muawiyah memerintahkan lelaki itu berjumpa dengannya. Orang ramai berkata: "Habislah dia". 


Kemudian orang ramai masuk dan mendapati dia duduk bersama Muawiyah di atas tempat duduknya. Muawiyah berkata kepada orang ramai: "Dia ini telah menghidupkanku (memberikan kebahagian), semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku, mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun."


Kata Muawiyah: "Aku bercakap pada Jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada Jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata: Aku termasuk dalam kalangan mereka. Aku bercakap pada Jumaat ketiga lelaki ini bangun menjawabku. Dia hidupkan (bahagiakan) daku, semoga Allah menghidupkannya."
 

Dunia bergembira dengan kemenangan Presiden Mesir yang baru Dr Muhammad Mursi. Saya mengikuti ucapan demi ucapannya. Ucapannya melambangkan nilai Islam yang ada dalam dirinya.

Islam itu asas pemikirannya. Saya tidak mengharapkan banyak, saya harap beliau menghidupkan demokrasi seperti yang dijanjikan. Memberikan hak rakyat dan membahagikan kekayaan negara secara betul. Menghidupkan negara yang tersusun dan berperaturan. Bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jika itu dapat dilakukan, Mesir yang terkenal dengan negara serabut dan tidak berperaturan itu akan dapat dibangunkan semula.

Umat Islam sekian lama menderita kerana kegagalan pengurusan negara mereka. Kini masa untuk berubah dengan menyingkirkan setiap golongan yang korupsi dan penyokong pemikiran feudal dari masyarakat Muslim.PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan kini zamil di Universiti Oxford. 

Tuesday 29 May 2012

PENDIDIKAN PERCUMA

Ibn Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang dikaji kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.

Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.

Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspek Sina’ah (Industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.
Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.

Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka .
Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.
Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibubapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara membantu kalangan yang tidak berkemampuan.

Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.

Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W :
إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثٍ: صدقةٍ جاريةٍ، أو علمٍ ينتفع به، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له .

Maksudnya : Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya. (Riwayat Muslim)

Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.
Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.
Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat mendatangkan hasil yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.

Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.

Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.
Presiden PAS,

Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Saturday 3 March 2012

Bersentuhan Lelaki dan Wanita: Batalkah Wudhuk?

P/S: Sebelum para pembaca meneruskan pembacaan, dinasihatkan agar terlebih dahulu membaca mengenai takliq dan talfiq dalam bahagian persoalan.
Ulamak berbeza pendapat mengenai hukum menyentuh kulit perempaun
ajnabi (yang halal dinikahi), apakah membatalkan wudhuk? (Kesemua Imam mujtahid menyarankan kita meneliti dalil dan hujah mereka sebelum kita menerima pakai ijtihad mereka.)
Menurut mazhab Syafi'i, hukumnya batal secara mutlak (tanpa syarat). Ini termasuk dengan isteri sendiri.
Mazhab Maliki: Menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wudhuk jika dengan tujuan `talazzuz' (berlazat-lazat), atau mendapat kelazatan ketika bersentuhan.
Hanafi: Menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan.
Mengapa mereka berselelisih pendapat?
Imam Abu Hanifah memutuskan sentuhan lelaki terhadap wanita (tanpa berlapik) tidak membatalkan wudhu' baik tanpa syahwat maupun disertai rasa syahwat. Beliau bersandarkan hadis riwayat Aisyah RA, bahawa Rasulullah saw biasa mencium
sebahagian isterinya kemudian solat, tanpa mengulangi wudhu' baginda.
Imam Abu Hanifah dalam membuat tafsiran ayat al Ma'idah: ayat 6 (jika kamu menyentuh wanita, Au Laa mastumunnisa') sentuh itu bermaksud jima'. Tafsiran Imam Abu Hanifah ini disandarkan kepada tafsiran Ibn Abbas RA, tokoh tafsir yang terunggul yang mentafsirkan menyentuh wanita dalam ayat itu bermaksud persetubuhan.
Rujukan: Imam al Kasani, al Bada'iy,Jld 1, ms 30 dan Dr Muhamad Bakar Ismail di dalam al-Feqh al-Wadhih minal Kitab was Sunnah, vol 1, hal 62)
. Ulamak Syafi'i berdalilkan, firman Allah Taala:
"Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan." (al-Maidah:6)
Mereka menafsirkan laamastum (mulamasah) pada ayat di atas- dengan maksud bersentuhan (al-lams)
Manakala Maliki menghimpunkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh ulamak syafi'i dan hanafi
Ada hadis lain riwayat al-Nasa'i dan Ahmada, juga dari Aisyah, katanya:
Nabi mencium sebahagian dari isterinya kemudian dia keluar mengerjakan sembahyang, dan tidak berwuduk.
Hadis berkenaan adalah bukti bahawa bersentuhan kulit tidak tidak batal. Namun para ulamak syafi'i menolak kehujahan hadis berkucup/cium dengan mengatakan bahawa hadis berkenaan dha'if dan mursal. Manakala hadis bersentuhan kaki aisyah dengan kaki nabi, mereka menolak kehujahan hadis berkenaan dengan mengatakan bahawa:
1. mungkin ketika itu ada lapik/alas
2. Atau ia dikhususkan untuk nabi sahaja (tidak batal wuduk).
Mana satu pendapat yang rajih? Dr Wahbah al-Zuhaili  dalam tarjihnya mengatakan bahawa penolakan ulamak syafi'i mengenai hadis menyentuh kaki dengan mengatakan kemungkinan berlapik adalah sengaja diada-adakan dan bertentangan dengan realiti yang berlaku. Menurutnya lagi, yang paling rajih ialah pendapat yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan ajnabi secara tiba-tiba atau yang tidak dalam keadaan bernafsu adalah tidak membatalkan wudhuk. Manakala jika bernafsu, membatalkan wudhuk.
Maksud menyentuh ialah bersentuhan kulit dengan kulit. Tidak kira samada dengan telapak tangan ataupun anggota lain.
Hanya dalam mazhab SyafiI mengecualikan penyentuhan kuku, gigi dan rambut. Mereka berpendapat bahawa anggota itu bukan tempat yang dizhankan syahwat. Oleh itu menyentuh anggota berkenaan tidak batal wuduk.
Cuma dalam masalah menyentuh zakar/faraj, para ulamak SyafiI menetapkan sentuhan yang membatalkan wuduk ialah dengan telapak tangan, tidak dengan belakang telapak tangan atau anggota lain.
Secara ringkas dalil-dalil yang digunakan dalam fiqh Syafiiy
Dalil alQur'an:
alMaidah: 6
anNisaa': 43
Jumhur ulama' (Nailool Awthor 1/23) mentafsirkan mulamasah dalam ayat itu dengan jelas bermaksud bersentuh kulit.
Hadis: Imam Syafi'iy ra , alUmm 1/12 meriwayatkan hadis dari Imam Malik dari Ibn Syihab dari Salim bin Abdillah dari ayahnya," sesiapa yg mencium isterinya atau menyentuh (isterinya) dengan tangan nya, hendaklah ia berwudhu'."
Imam alBaihaqee meriwayatkan dari Ibn Mas'ud ra dengan lafaz,"mencium (isteri) itu termasuk 'Lams' (menyentuh) dan hendaklah ia berwudhu'. Lamsu itu bukan jima'." (Nailool Awthor, 1/231)


Adapun hadis HR Abu Daud dan aNasa'iy dari Aisyah ra, "bahawa Nabi saw telah mencium salah seorang isterinya dan tidak wudhu' lagi."
Kritikan terhadap hadis ini:
Abu Daud: hadis ini mursal (Nailool Awthor, 1/231)
Termidzi: dha'ef menurut syarat Bukhari (Subulus Salam 1/65)
Kitab Bulughul Maram (ms 12) hadis in dikeluarkan oleh Imam Ahmad yg mana statusnya dha'ef menurut alBukhari.
Itulah hujah fiqh Syafi'iy mengenai batalnya wudhu' jika menyentuh isteri. Allahu a'alam
Jadi yang mana patut kita ikut?

Yang mana patut ikut itu terpulang kepada individu. Ini kerana setiap pendapat di atas bersandarkan al-quran dan hadis. Mereka menggunakan dalil dgn cara yg berlainan. Oleh sebab itu, pelbagai pendapat  yang berbeza diberikan. Namun utk memakai pendapat yg mana kita haruslah mengetahui dalil2 yg digunakan. Ini sudah masuk ke isu takliq. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan takliq sila lihat persoalan takliq dan talfiq dalam bahagian persoalan. Wallahu alam.


Dalil2 Tentang Sentuh Wanita Tidak Batal Wuduk

DALIL PERTAMA
عن عائشة رضي الله عنها قالت: فقدت رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات ليلة فالتمسته بيدي فوقعت يدي على قدميه وهما منصوبتان وهو ساجد وهو يقول "اللهم إني أعوذ بمعافاتك من عقوبتك وأعوذ برضاك من سخطك وأعوذ بك منك لا أحصي ثناء عليك كما أنت أثنيت على نفسك"

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a katanya: Aku mendapati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tiada pada suatu malam, lantas aku meraba-raba mencarinya dengan tanganku. Lalu tanganku tersentuh dua kakinya yang tegak ketika baginda sujud sambil berkata “Wahai Tuhanku, aku mohon perlindungan dengan kemaafanmu daripada balasanmu, aku mohon dengan redhamu daripada kemurkaanmu, aku mohon denganmu daripadamu. Aku tidak mampu menghitung pujian ke atasmu sebagaimana Engkau sendiri memuji dirimu”.[1]

* Kedudukan Hadis

Hadis ini adalah sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim (dengan sedikit perbezaan lafaz). Lafaz di atas adalah riwayat Imam Al-Baihaqi. Kata Imam Al-Nawawi “Sanadnya sahih”.[2]

* Penjelasan Dalil

Aisyah r.a telah tersentuh kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan tangannya, sedangkan baginda tetap meneruskan solatnya. Ini menunjukkan sentuhan itu tidak membatalkan wudhu’. Jika ia membatalkan wudhu’ sudah pasti baginda akan berhenti.

* Perbincangan

Hadis ini ditakwil oleh ulama mazhab syafie dengan mengatakan kemungkinan Aisyah menyentuh kaki Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam keadaan berlapik.[3]

Namun takwilan ini dianggap oleh sebahagian ulama sebagai takwilan yang jauh, kerana Aisyah menyentuh tapak kaki Nabi yang sedang sembahyang. Kebiasaannya anggota tersebut terdedah.

Berkata pengarang kitab Al-Lubab “Di dalam satu riwayat yang sahih menyebut bahawa tangannya tersentuh tapak kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sedangkan baginda sujud’…Kebiasaannya bahagian ini tidak tertutup terutamanya ketika sujud”.[4]

Di dalam Syarah Sunan Al-Nasai, Syeikh Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti menyebut “Riwayat ini agak jauh untuk ditakwil (dengan berlapik), kerana kebiasaannya kedua-dua kaki terdedah ketika sembahyang sewaktu sujud. Lebih-lebih lagi, pakaian mereka pada waktu itu ialah kain, yang tidak menutup kaki”.[5]

Sebahagian ulama mazhab Maliki pula mentakwilkan dengan mengatakan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak menyedari kakinya disentuh oleh Aisyah kerana terlalu asyik dengan ibadah. Maka di sisi mereka, jika sentuhan berlaku tanpa disedari atau tanpa qasad maka ia tidak membatalkan wudhu’.[6]

DALIL KEDUA
عن عائشة رضي الله عنها قالت أن النبي صلى الله عليه وسلم قبل بعض نسائه ثم خرج إلى الصلاة ولم يتوضأ

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya “Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mencium sebahagian isteri-isterinya kemudian baginda keluar untuk solat dan tidak mengambil wudhu’”[7]

* Kedudukan Hadis

Hadis ini adalah antara hadis yang paling masyhur di dalam permasalahan ini. Kata Imam Al-Baihaqi: “Ini adalah hadis yang paling masyhur diriwayatkan di dalam bab ini”[8]

Ia diriwayatkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain. Ia antara hadis yang diperselisihkan kedudukannya adakah sahih atau dhaif.

Antara yang mendhaifkan hadis ini ialah Imam Tirmizi[9], Imam Baihaqi[10], Imam Nawawi[11], dan Al-Hafiz Ibnu Hajar[12].

Hujahnya ialah hadis ini adalah riwayat Habib bin Abi Thabit, daripada Urwah, daripada Aisyah r.a. Mereka mengatakan Urwah di sini ialah Urwah bin Al-Zubair berdasarkan ada riwayat yang menyebut nama penuhnya (Urwah bin Al-Zubair) seperti riwayat Ibnu Majah. sedangkan Habib bin Abi Thabit tidak mendengar hadis melainkan daripada Urwah Al-Muzani. Dan Urwah Al-Muzani pula adalah majhul.

Antara ulama yang mengatakan hadis ini sahih pula ialah Imam Thabari[13] dan beberapa muhaqqiqin di kalangan ulama mutaakhir.

Syeikh Ahmad Syakir di dalam komentarnya terhadap Sunan Tirmizi telah mengemukakan satu perbahasan yang cukup menarik tentang hadis ini. Kesimpulannya hadis ini adalah sahih dan tiada kecacatan padanya. Apa yang disebut oleh beberapa ulama tentang kecacatannya, sebenarnya tidak menjejaskan kesahihan hadis ini.[14]

Syeikh Nasiruddin Al-Albani juga menghukumkan hadis ini sebagai sahih.[15]

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Ini adalah hadis yang sahih. Terdapat baginya beberapa syahid (yang menguatkan hadis ini).[16]

* Penjelasan Dalil

Perbuatan cium kebiasannya berlaku dengan sentuhan tanpa berlapik. Ini menunjukkan sentuhan walaupun disertai dengan syahwat tidak membatalkan wudhu’.

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Perbuatan cium tanpa disertai syahwat adalah satu andaian yang sangat jauh”.[17]

* Perbincangan

Pendokong mazhab pertama menolak dalil ini dengan berhujah bahawa ia dhaif sebagaimana dinukilkan tadi. Jika diandaikan hadis ini sahih, mereka mentakwil pula dengan mengatakan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mencium isterinya dengan berlapik.[18]

DALIL KETIGA
عن عائشة رضي الله عنها قالت إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم ليصلي وأنا معترضة بين يديه اعتراض الجنازة حتى إذا أراد أن يسجد غمزني برجله

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sedang bersembahyang, dan aku berbaring di hadapannya seperti pembaringan jenazah. Hingga apabila baginda ingin sujud, baginda mencuitku dengan kakinya”[19]

* Kedudukan Hadis

Hadis ini adalah sahih, riwayat Bukhari dan Muslim. Di dalam Sunan Nasai, disebutkan dengan lafaz yang lebih jelas iaitu مسني maksudnya “baginda menyentuhku”. Riwayat ini juga sahih sebagaimana kata Imam A-Nawawi di dalam Majmuk dan Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Talkhis Al-Habir: “Sanadnya sahih”[20]

* Penjelasan Dalil

Perkataan غمزني di dalam hadis bererti mencuitku. Ia memberi erti Rasulullah menyentuhnya. Kata Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari “ Diambil dalil daripada hadis ini bahawa menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu’”[21]

Manakala lafaz مسني (menyentuhku) adalah lebih jelas di dalam pendalilan ini. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Talkhis: “Hadis ini dijadikan dalil bahawa perkataan اللمس (menyentuh) di dalam ayat ( Surah Al-Nisa’ ayat 43) adalah bersetubuh, kerana baginda menyentuhnya (Aisyah) di dalam sembahyang dan tetap meneruskannya”.[22]

* Perbincangan

Hadis ini juga ditakwil oleh pendokong mazhab pertama dengan beberapa takwilan. Antaranya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyentuh Aisyah dengan berlapik. Kata Imam Nawawi “Inilah yang zahir bagi seseorang yang sedang tidur di atas hamparan.”[23] Ada juga yang mengatakan hukum ini adalah khusus bagi Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.[24]

DALIL KEEMPAT
عن عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم يقبل بعض نسائه ثم لا يحدث وضوءا

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mencium sebahagian para isterinya kemudian baginda tidak memperbaharui wudhu’.[25]

* Kedudukan Hadis

Di dalam hadis ini terdapat perawi yang diperkatakan tentangnya, iaitu Said bin Basyir.

Kata Ibnu Hajar Al-Haithami “Beliau (Said bin Basyir) dianggap thiqah (dipercayai) oleh Syu’bah dan lain-lain. Yahya bin Ma’in dan sekumpulan lagi medhaifkan beliau”.[26]

Di dalam Taqrib Al-Tahzib, Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan beliau dhaif.[27]

* Penjelasan Dalil

Perbuatan cium kebiasannya berlaku dengan sentuhan tanpa berlapik. Ini menunjukkan sentuhan walaupun disertai dengan syahwat tidak membatalkan wudhu’.

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: “Perbuatan cium tanpa disertai syahwat adalah satu andaian yang sangat jauh”.[28]

* Perbincangan

Selain hadis ini dipertikaikan kesahihannya, ia juga ditakwil dengan takwilan-takwilan yang sama sebagaimana dalil-dalil sebelumnya.

DALIL KELIMA
عن عائشة رضي الله عنها قالت أن رسول الله صلى الله عليه وسلم يتوضأ ثم يقبل بعدما يتوضأ ثم يصلي ولا يتوضأ

Maksudnya: Daripada Aisyah r.a. katanya, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berwudhu’ kemudian baginda mencium selepas berwudhu’ dan kemudian baginda bersembahyang tanpa mengambil wudhu’”[29]

[1] Sahih Muslim bersama Syarah Al-Nawawi (2/212)
[2] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/21)
[3] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/29), ‘Aridhah Al-Ahwazi, Ibnul Arabi (1/105)
[4] Al-Lubab (1/147)
[5] Syarah Sunan Al-Nasai, Al-Syanqiti (2/335)
[6] ‘Aridhah Al-Ahwazi, Ibnul Arabi (1/105)
[7] Sunan Abi Daud (1/234), Sunan Ibni Majah (1/405), Sunan Tirmizi (1/128)
[8] Makrifatul Sunan Wal Athar, Al-Baihaqi (1/376)
[9] Sunan Tirmizi (1/128) Katanya “Aku mendengar Imam Al-Bukhari mendhaifkan hadis ini”.
[10] Katanya “Hadis ini maalul (terdapat kecacatan)” lihat Makrifatul Sunan Wal Athar (1/376)
[11] Kata Nawawi di dalam Majmuk “Ini adalah hadis yang dhaif dengan sepakat para huffaz. Dan antara yang mendhaifkan hadis ini ialah Sufian Al-Thauri, Yahya bin Ma’in, Said Al-Qattan, Ahmad, Abu Daud dan Abu Bakar Al-Naisaburi” Lihat Majmuk (2/28), Khulasah Al-Ahkam, Imam Nawawi (1/137)
[12] Talkhis Al-Habir, Ibnu Hajar (1/199)
[13] Tafsir Thabari (7/73)
[14] (1/134-138)
[15] Sahih Sunan Abi Daud, Al-Albani (1/56)
[16] Al-Syarhul Mumti’, Al-Uthaimin (1/232)
[17] Al-Syarhul Mumti’, Al-Uthaimin (1/232)
[18] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/28)
[19] Sahih Bukhari (m/s:84)
[20] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/27), Talkhis Al-Habir, Ibnu Hajar (1/199)
[21] Fathul Bari, Ibnu Hajar (1/638)
[22] Talkhis Al-Habir, Ibnu Hajar (1/199)
[23] Majmuk, Imam Al-Nawawi (2/27)
[24] Fathul Bari, Ibnu Hajar (1/638)
[25] Sunan Al-Daraquthni (1/337), Majmak Al-Zawaid (1/247)
[26] Majmak Al-Zawaid (1/247)
[27] Taqrib Al-Tahzib, Ibnu Hajar (m/s:374)
[28] Al-Syarhul Mumti’, Al-Uthaimin (1/232)
[29] Sunan Al-Daraquthni (1/334)


sumber:http://syededlee.tripod.com/keunggulanislam/id75.html
            http://qawudukdanmandi.blogspot.com/2009/08/dalil-tentang-sentuh-perempuan-    tak.html
































































Sunday 19 February 2012

Ibnu Battutah, Perjalanan Haji Terpanjang Yang Menakjubkan

Ibnu Battutah, Perjalanan Haji Terpanjang Yang Menakjubkan



Selama ini tercatat dalam sejarah bahwa Columbus (1451-1506M) telah menjelajahi dunia. Dikatakan dialah penemu Dunia Baru atau Benua Amerika. Tidak banyak yang tahu jauh sebelum Columbus, orang-orang Arab sudah menjelajahi dunia.
Salah seorang dari mereka ialah Ibnu Batutah atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah Al-Lawati Al-Tanji. Beliau dilahirkan di Tangiers, Morocco, Afrika Utara pada 24 Februari 1304M. Besar dalam keluarga yang taat memelihara tradisi Islam, Ibnu Batutah giat mempelajari fiqh dari para ahli yang sebagian besarnya menduduki jabatan kadhi (hakim). Beliau juga mempelajari sastra dan syair Arab.
Kejayaan beliau dinikmati ketika zaman kekuasaan Bani Marrin di Morocco. Penguasaannya tentang dunia pelayaran didapat ketika bersama-sama pasukan kerajaan memerangi pasukan perang Perancis. Morroco dan Perancis hanya terpisah oleh lautan sehingga pertempuran laut sering terjadi antara keduanya. Pada akhirnya, Morroco pernah menjadi salah satu negara jajahan Perancis.
Menurut sejarahwan Barat, George Sarton, yang mengutip catatan Sir Henry Yules, Ibnu Batutah telah mengembara sejauh 75,000 batu melalui daratan dan lautan. Jarak ini jauh lebih panjang dari yang dilakukan Marco Polo dan penjelajah mana pun sebelum datangnya zaman mesin uap. Ketika Marco Polo meninggal dunia, Ibnu Batutah baru berusia 20 thn. Ahli sejarah seperti Brockellman mensejajarkan namanya dengan Marco Polo, Hsien Teng, Drake dan Magellan.
Ibnu Batutah (wikipedia)
Ibnu Batutah (wikipedia)
Kisah seluruh perjalanan Ibnu Batutah ditulis oleh Ibnu Jauzi, juru tulis Sultan Morroco, Abu Enan. Karya itu diberi judul Tuhfah Al-Nuzzar fi Ghara’ib Al Amsar wa Ajaib Al-Asfar (Persembahan Seorang Pengamat tentang Kota-kota Asing dan Perjalanan yang Mengagumkan). Karya ini telah menjadi perhatian berbagai kalangan di Eropa sejak diterjemahkan ke berbagai bahasa seperti Perancis, Inggris dan Jerman.
Kepergian pertama Ibnu Batutah ketika beliau menunaikan ibadah haji pada usia kurang dari 21 thn. Menurut catatan sejarah, kepergian itu tepat pada 14 Jun 1325M. Beliau menyeberangi Tunisia dan hampir seluruh perjalanannya ditempuh dengan berjalan kaki. Beliau tiba di Alexandria pada 15 April 1326 dan mendapat bantuan dari sultan Mesir berupa uang dan hadiah untuk bekal menuju Tanah Suci.
Satu kesan menarik ketika beliau tiba di pantai Mesir bagian utara. Menurutnya, Alexandria adalah sebuah pelabuhan yang berkembang dan merupakan pusat perdagangan serta pusat angkatan laut di daerah Laut Tengah (Mediterranean) bagian timur. Di Negeri Seribu Menara ini, beliau menerima hadiah dan uang dari sultan Mesir. Perjalanan ke Makkah dilanjutkan melalui Kairo dan Aidhab, pelabuhan penting di Laut Merah dekat Aden.
Beliau kemudian kembali ke Kairo dan melanjutkan perjalanan ke Makkah melalui Gaza, Jerusalem, Hamamah, Aleppo dan Damaskus di Syria. Beliau tiba di Makkah pada Oktober 1926. Selama di Makkah, Ibnu Batutah bertemu dengan jamaah dari berbagai negeri. Pertemuan inilah yang mendorong semangat beliau mengenal langsung negeri-negeri asal jamaah haji. Lalu beliau membatalkan kepulangannya dan memulai pengembaraan menjelajahi dunia.
Mulai dengan menyeberangi gurun pasir Arabia menuju Iraq dan Iran, beliau kemudian kembali ke Damaskus dan melanjutkannya ke Mosul, India. Setelah itu beliau menunaikan ibadah haji untuk kedua kalinya ke Makkah dan menetap di Kota Suci itu selama tiga tahun (1328-1330M). Puas menetap di Makkah, beliau terus melanjutkan pengembaraan ke Aden dan belayar ke Somalia, pantai Afrika Timur, termasuk Ziela dan Mambasa. Kembali ke Aden, lalu ke Oman, Hormuz di Teluk Persia dan Pulau Dahrain. Beliau sempat mampir sebentar di Makkah pada 1332, lalu menyeberangi Laut Merah, menyusuri Nubia, Nil Hulu, Kairo, Syria dan tiba di Lhadhiqiya. Beliau kemudian menggunakan sebuah kapal Genoa, belayar ke Alaya di pantai selatan Asia Kecil.
Setelah melakukan perjalanan laut, pada 1333 Ibnu Batutah melanjutkan pengembaraan lewat darat. Dilaluinya Rusia Selatan hingga sampai ke istana Sultan Muhammad Uzbeg Khan yang ada di tepi Sungai Wolga. Kemudian diteruskan penjelajahan hingga ke Siberia. Awalnya beliau berniat menuju Kutub Utara, namun dibatalkan kerana dinginnya cuaca daerah “Tanah Gelap”, sebutan wilayah yang tak pernah ada sinar matahari.
Ibnu Batutah mengunjungi Kaisar Byzantium, Audronicas II dan mendapat perlakuan baik dari Kaisar. Dihadiahkan kuda, pelana dan payung.
BATTUTA_6.47307Perjalanan darat dilanjutkan menuju Persia Utara hingga Afghanistan dan beristirahat di Kabul. Pengembaraan berhenti sementara ketika Ibnu Batutah sampai di India dan bertemu dengan Sultan Delhi, Muhammad bin Tuqluq. Di kesultanan ini, Ibnu Batutah diangkat menjadi hakim oleh sultan dan tinggal di negeri ini selama delapan tahun.
Ketika menuju kawasan Cambay di India, beliau telah diserang sekelompok penyamun dekat Aligarh dan ditawan. Berkat permohonan seseorang, beliau selamat dari hukuman mati dan dilepaskan. Sebelum melanjutkan perjalanan, beliau diminta Sultan Delhi untuk menghadap. Sultan akhirnya memutuskan Ibnu Batutah menjadi duta besar kepada maharaja Cina.
Dalam kunjungannya ke Cina, tercatat kekaguman Ibnu Batutah terhadap kekuatan armada besar yang dibangun mereka. Beliau beruntung mendapat kesempatan menikmati perahu pesiar milik maharaja menuju Peking. Kembali dari Cina, Ibnu Batutah mengunjungi India, Oman, Persia, Iraq dan Damaskus. Kemudian beliau kembali ke Makkah menunaikan ibadah haji untuk kali keempat pada 1348M. Sekembalinya dari haji, beliau menyusuri Jerusalem, Gaza, Kairo dan Tunis. Dengan menumpang perahu dari Tunis, beliau menuju Morroco lewat Dardinia dan tiba di Fez, ibu kota Morroco pada 8 November 1349M. Sejak itu beliau menetap hinga akhir hayat pada 1377M. Seluruh pengembaraan beliau ke negara Islam dan non-Islam berlangsung selama 24 tahun.
Satu catatan Ibnu Batutah, dalam perjalanan laut menuju Cina, beliau pernah mampir di wilayah Samudera Pasai (kini Aceh) yang menurut penilaian beliau “negeri nan hijau dan subur”, “rakyat dan alamnya indah dan menawan”, “negeri yang menghijau dan kota pelabuhannya besar dan indah”. Dalam versi lainnya, beliau menulis pulau Sumatra sebagai “Pulau Jawa yang menghijau”.
Kedatangan Ibnu Batutah disambut Amir (panglima) Daulasah, Qadi Syarif Amir Sayyir Al-Syirazi, Tajuddin Al-Asbahani dan beberapa ahli fiqh atas perintah Sultan Mahmud Malik Zahir (1326-1345). Pada pandangan Ibnu Batutah, Sultan Mahmud merupakan penganut mazhab Syafi’i yang giat menyelenggarakan pengajian, perbahasan dan muzakarah tentang Islam. Kata beliau “Sultan sangat rendah hati dan berangkat ke masjid untuk sholat Jum’at dengan berjalan kaki. Selesai sholat, Sultan dan rombongan biasa berkeliling kota melihat keadaan rakyatnya”.
Beliau juga melihat Samudera Pasai saat itu merupakan pusat studi Islam. Penilaiannya itu wajar karena sejarah berdirinya kerajaan Samudera Pasai juga merupakan kerajaan Islam pertama di Nusantara. Kerajaan Samudera Pasai telah didirikan oleh Sultan Malikus Shaleh (W 1297), yang sekaligus sebagai sultan (pemimpin) pertama negeri itu.
Beliau berada di Samudera Pasai selama 15 hari. Sempat mengunjungi pedalaman Sumatra yang masih dihuni masyarakat non-Muslim. Di situ juga beliau menyaksikan beberapa perilaku masyarakat yang mengerikan, bunuh diri massal yang dilakukan hamba ketika pemimpinnya mati.
Subhanallah.
sumber: Encyclopedia Tokoh Islam
Kisah lengkap Ibnu Batutah dapat dibaca di: http://www.saudiaramcoworld.com/issue/200004/default.htm

Wednesday 15 February 2012

Imam Al-Ghazali

Al-Ghazali


Imam Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "hujjatui Islam".




Abu Hamid Ibnu Muhammad al-Tusi al-Ghazali itulah tokoh yang dilahirkan di Tus, Pars! pada tahun 450 Hijrah. Sejak kecil lagi, beliau telah menunjukkan keupayaan yang luar biasa dengan menguasai berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan. Beliau bukan sahaja produktif dari segi menghasilkan buku dan karya tetapi merupakan seorang ahli fikir Islam yang terulung.

Kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan begitu mendalam sehingga mendorongnya menggembara dan merantau dari sebuah tempat ke tempat yang lain untuk berguru dengan ulama-ulama yang hidup pada zamannya. Sewaktu berada di Baghdad, Al-Ghazali telah dilantik sebagai Mahaguru Universiti Baghdad.

Walaupun telah bergelar mahaguru tetapi beliau masih merasakan kekurangan pada ilmu pengetahuan yang dimiliki. Lantaran itu, beliau meninggalkan jawatannya dan beralih ke bidang tasawuf dengan merantau ke Makkah sambil berguru dengan ahli-ahli sufi yang terkenal disana

Selain belajar dan mengkaji,. Al-Ghazali juga banyak menulis. Dianggarkan beliau telah menulis 300 buah buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran, falsafah, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya telah hangus dibbakar oleh tentera Moghul yan menyerang kota Baghdad.

Antara kitab yang musnah termasuk: 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan al Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Dari Orang'orang Yang Bukan Ahlinya,). Cuma 84 buah buku tulisan beliau yang berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mm al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar fMengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah).

Meskipun Al-Ghazali banyak menulis mengenai falsafah tetapi beliau tidak dianggap sebagai seorang ahli falsafah. Malah kebanyakan penulis menggolongkan Al-Ghazali sebagai seorang yang memerangi dan bersikap antifalsafah. Pandangan ini berdasarkan tulisan Al-Ghazali dalam buku Tahafut Falsafah yang banyak mengkritik dan mengecam falsafah. Bahkan dalam buku tersebut, Al-Ghazali menyatakan tujuan menyusun buku itu adalah untuk menghancurkan falsafah dan menggugat keyakinan orang terhadap falsafah. Namun begitu, pandangan bahawa Al-Ghazali seorang yang antifalsafah tidak dipersetujui oleh beberapa orang sarjana.

Biarpun tidak ada seorang pun yang boleh menafikan kecaman Al-Ghazali terhadap falsafah seperti yang ditulis dalam buku Tahafut Falsafah itu tetapi perlu diingat- kan bahawa sikap skeptis (ragu) dan kritikannya terhadap falsafah merupakan sebahagian proses ilmu falsafah itu sendiri. Hal ini kerana tugas ahli falsafah bukan semata-mata untuk mencari kebenaran dan penyelesaian terhadap sesuatu masalah tetapi juga mencabar serta membantah penyelesaian yang dikemukakan terhadap permasalahan tersebut.

Kalau menyelusuri perjalanan hidup Al-Ghazali maka akan didapati bahawa beliau merupakan ilmuwan Islam pertama yang mendalami falsafah dan kemudian mengambil sikap mengkritiknya. Walaupun Al-Ghazali kurang senang dengan falsafah dan ahli filsafat tetapi dalam buku Maqasid al Falasifah., beliau telah mengemukakan kaedah falsafah untuk menghuraikan persoalan yang berkaitan dengan logik, ketuhanan, dan fizikal.

Menurut Al-Ghazali, falsafah boleh dibahagikan kepada enam ilmu pengetahuan ialah matematik, logik, fizik, metafizik, politik, dan etika. Bidang-bidang ini kadangkala selari dengan , agama dan kadangkala pula sangat berlawanan dengan agama.

Namun begitu, agama Islam tidak menghalang umatnya daripada mempelajari ilmu pengetahuan tersebut sekiranya mendatangkan kebaikan serta tidak menimbulkan kemudaratannya. Umpamanya agama tidak melarang ilmu matematik kerana ilmu itu merupakan hasil pembuktian fikiran yang tidak boleh dinafikan selepas ia difahami.

Cuma bagi Al-Ghazali, ilmu tersebut boleh menimbulkan beberapa persoalan yang berat. Antaranya ialah ilmu matematik terlalu mementingkan logik sehingga boleh menyebabkan timbul persoalan yang berkaitan dengan ketuhanan khususnya mengenai perkara yang tidak dapat dihuraikan oleh akal fikiran. Menurut Al-Ghazali tidak salah berpegang kepada logik tetapi yang menjadi masalahnya ialah golongan falsafah yang terlalu berpegang kepada logik, hendaklah membuktikan fakta termasuk perkara yang berhubung dengan ketuhanan atau metafizik.

Sebab itulah beliau menentang golongan ahli falsafah Islam yang cuba mengungkap kejadian alam dan persoalan ketuhanan menggunakan pemikiran daripada ahli falsafah Yunani. Beberapa orang ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi jelas terpengaruh akan idea pemikiran falsafah Aristotle. Maka tidak hairanlah ada antara pandangan ahli falsafah itu bertentangan dengan ajaran Islam yang boleh menyebabkan kesesatan dan syirik.

Terdapat tiga pemikiran falsafah metafizik yang menurut Al-Ghazali amat bertentangan dengan Islam iaitu qadimnya alam ini, tidak mengetahui Tuhan terhadap perkara dan peristiwa yang kecil, dan pengingkaran terhadap kebangkitan jasad atau jasmani.

Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya beliau berpendapatan bahawa ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan apt keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan sahaja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani. Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata. Jadi, apa yang cuba dilakukan oleh Al-Ghazali ialah memaparkan kesalahan dan kepalsuan bidang pengetahuan yang bercanggah dengan agama serta bertentangan dengan pendirian umat Islam. Sekali gus menunjukkan bahawa Al-Ghazali sebenarnya merupakan seorang ahli falssafah Islam yang mencari kebenaran dengan berpandukan al-Quran dan hadis tidak sebagaimana pemikiran serta permainan logik yang lazim digunakan ahli falsafah Yunani. Perkara yang ditentang oleh Al-Ghazali bukan ahli falsafah dan pemikiran yang dibawakan oleh mereka tetapi kesalahan, kesilapan, dan kesesatan yang dilakukan oleh golongan tersebut. Pada Al-Ghazali, tunjang kepada pemikiran falsafah ialah al-Quran itu sendiri.